Monday 31 March 2008

Ucapan Penutupan by Yap Siew Fah

Terlebih dahulu, bagi pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Bahagian Sungai dan Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia atas usaha mereka menganjur Kursus ‘RIVER Ranger Training of Trainers’ di Negeri Sabah.

Saya difahamkan dalam tempoh kursus selama 3 hari ini, sesi-sesi ceramah dan latihan lapangan telah diadakan untuk memberi penerangan dan pendedahan mengenai kepentingan sumber air, punca-punca yang membawa kepada pencemaran dan kemerosotan sumber air dan kaedah pengurusannya khususnya dari segi melibatkan komuniti setempat.

Saya berharap pengtahuan dari ceramah dan latihan lapangan serta interaksi dan perkongsian pengalaman yang dilakukan selama tempoh kursus ini akan dapat digunakan sebaik-baiknya apabila tuan-tuan dan puan-puan kembali ke tempat masing-masing. Sesungguhnya pengurusan sumber air merupakan satu usaha yang berterusan yang memerlukan komitmen dan kesungguhan semua lapisan masyarakat.

Saya difahamkan peserta kursus ini terdiri daipada wakil dari pelbagai Jabatan dan Pihak Berkuasa Tempatan, Guru-Guru, Pemimpin Kemajuan Rakyat dan wakil JKKK serta Pertubuhan Bukan Kerajaan dengan jumlah peserta hamper 40 orang.

Bagi guru-guru yang berpeluang mengikuti latihan ini, adalah diharap supaya pengalaman yang diperolehi dapat dikongsi dengan pelajar-pelajar sekolah agar mereka lebih sedar dan lebih faham mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar bagi menjamin sumber air yang berkekalan dan peranan yang boleh dimainkan oleh mereka dalam konteks ini.

Bagi peserta dari jabatan dan agensi kerajaan, says percaya melalui latihan ini, ia telah memberi pengetahuan tambahan kepada tuan-tuan dan puan-puan. Adalah menjadi harapan saya agar tuan-tuan dan puan-puan apabila kembali ke tempat bertugas masing-masing akan secara aktif mencari ruang dan peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi. Saya percaya apabila ini dilakukan, ia akan memberi kesan atau implikasi positif berpanjangan kepada pengurusan sumber air Negeri Sabah.

Untuk pihak JKKK yang bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan, kami mengharapkan kerjasama dari segi memastikan penduduk kampong tidak membuang samapah atau menyalurkan sebarang bahan pencemar ke dalam sungai serta melaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan aktiviti-aktiviti yang membawa kepada pencemaran sumber air termasuk pencerobohan kawasan perlindungan air, kawasan konservasi air, badan-badan air dan lain-lain.

Untuk tuan-tuan dan puan-puan dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) pula, kami yakin sumbangan dan penglibatan yang positif, aktif dan proaktif dari tuan-tuan dan puan-puan selama ini akan diteruskan dan dipertingkatkan demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang khususnya dalam konteks memastikan sumber air yang mampan dan lestari dari segi kuantiti dan kualiti.

Saya tidak berhasrat untuk memberi ucapan yang panjang lebar. Akhir sekali, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak JPS Malaysia atas inisiatif dan sumbangan peruntukan kewangan dan perkongsian pengetahuan dan kemahiran yang dilakukan melalui GEC atau Global Environment Centre yang membolehkan kursus 3 hari di Sabah ini diadakan dengan jayanya. Saya berharap di masa akan dating lebih banyak program dalam bentuk “membina keupayaan” atau “Capacity Building” seumpama ini akan diadakan di Sabah.

Tidak lupa, saya mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dari pelbagai organisasi kerana sudi dicalonkan atau mendaftar diri dan mengambil bahagian dalam kursus ini. Sesungguhnya tanpa penglibatan tuan-tuan dan puan-puan, kursus ini tidak akan bermakna dan tidak akan berjaya diadakan.

Bagi pihak JPS Sabah, saya memohon maaf untuk sebarang kekurangan, kelemahandan kesilapan dalam kami membantu menganjurkan kursus ini.

Dengan kata-kata sedemikian, saya dengan sukacitanya menutup Kursus “RIVER Ranger – Training of Trainers” ini.

Sekian, terima kasih.

Yap Siew Fah
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Pengurusan Sumber Air
JPS Sabah